6 SEBAB UTAMA GIGI ANDA TERLALU KUNING

Pernah melihat ke dalam cermin dan tertanya-tanya bagaimana gigi anda menjadi terlalu kuning? Ramai antara kita pernah memikirkannya. Kita mudah terlepas pandang kerana penguningan berlaku secara perlahan-lahan. Nasib baiklah penguningan gigi bukanlah satu tanda keadaan kesihatan yang serius. Walaupun ia melemahkan semangat dan menjejaskan keyakinan kita kerana kita berasa kehilangan aset terbaik kita, iaitu senyuman yang putih dan berseri, ia masih boleh dipulihkan. Untuk permulaan, anda perlu tahu apa yang menyebabkan penguningan gigi, dan bagaimana cara untuk mengelak atau mengehadkan pendedahan kepada benda-benda itu.

SEBAB #1 Anda Semakin Tua

Gigi anda juga boleh mula menguning sebagai sebahagian daripada proses penuaan. Ia berlaku apabila lapisan putih pelindung gigi yang kuat yang dikenali sebagai enamel lama-kelamaan berkurangan akibat haus dengan penggunaan gigi.

SEBAB #2 Anda Seorang Perokok

Produk tembakau daripada rokok dan paip tembakau, mengotorkan gigi. Gigi anda lama-kelamaan akan menjadi gelap jika anda mengambil produk-produk ini.

SEBAB #3 Tidak Mengambil Berat akan Kebersihan Oral

Apabila anda tidak memberus, memflos atau berkumur secara rutin untuk menghapuskan pembinaan plak dan tartar, ia boleh mempercepatkan perubahan warna gigi anda.

SEBAB #4 Pengambilan Ubat-ubatan

Ubat-ubatan tertentu seperti antibiotik doksisiklin dan tetrasiklin boleh menggelapkan gigi kanak-kanak yang berumur kurang 8 tahun. Sesetengah antihistamin, ubat untuk tekanan darah tinggi dan ubat antipsikotik juga boleh merubah warna gigi orang dewasa. Minta nasihat doktor anda tentang kemungkinan kesan sampingan ubat-ubatan yang anda sedang atau akan ambil.

SEBAB #5 Anda Menghidap Penyakit

Punca kurang lazim perubahan warna gigi adalah penyakit yang menjejaskan enamel, atau rawatan penyakit tertentu, seperti kemoterapi dan/atau radiasi yang digunakan untuk merawat kanser. Dalam kes sebegini, perubahan warna adalah lebih kepada kecoklat-coklatan.

SEBAB #6 Gigi Kuning Dalam Baka Anda

Boleh jadi anda mewarisi enamel yang lebih kuning berbanding orang lain yang gennya berbeza.
Jika anda perasan gigi anda lebih kuning daripada yang anda inginkan, anda boleh membetulkannya menggunakan seberapa banyak jalur pemutih, ubat gigi atau kumuran LISTERINE® untuk mengembalikan senyuman anda yang berseri itu.